PELANCAR ONLINE
DECEMBER 2005

ARKIB PELANCAR 2005

 

 

 

 

 

 

ANGKASA Berjaya Bantu Koperasi Sedia Akaun

KEJAYAAN ANGKASA membantu banyak koperasi dalam menyediakan akaun untuk diaudit merupakan khidmat yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh kebanyakan koperasi bersaiz kecil dan sederhana.

Ini kerana selain mendapat khidmat penyediaan akaun untuk diaudit, kakitangan dan sebilangan Anggota Lembaga juga boleh turut melibatkan diri mempelajari dan mendalami ilmu mengenai cara-cara menyediakan akaun yang lengkap dan boleh diaudit mengikut peruntukan Akta Koperasi.

Sehubungan itu Yang Dipertua ANGKASA, Prof. Diraja Ungku A. Aziz sentiasa memberi perhatian agar pasukan Praaudit ANGKASA akan sentiasa membantu koperasi menyediakan akaun yang lengkap supaya ianya dapat diaudit selain dapat menjimatkan kos pengauditan.

Menurut Prof. Diraja Ungku A. Aziz, perkhidmatan Pra Audit yang diberikan oleh ANGKASA adalah perkhidmatan penyelenggaraan dan nasihat perakaunan yang disediakan secara percuma. Menurut beliau, semasa kerja-kerja penyediaan akaun dibuat oleh para petugas Praaudit, banyak perkara mengenai perakaunan boleh dipelajari oleh kakitangan dan pentadbir koperasi berkenaan.

Prof. Diraja Ungku A. Aziz berkata, bagi tempoh 2006 hingga 2007, ANGKASA telah menyediakan peruntukan bagi membolehkan penambahan lebih 50 kakitangan baru bagi mengendalikan khidmat praaudit ini.

Menurut beliau, kakitangan baru yang akan diambil ini merupakan siswazah dalam bidang akaun dan mereka akan diberi latihan serta bimbingan secukupnya mengenai akaun dan pengendalian program ini sebelum dihantar ke koperasi bagi membantu menyedia akaun untuk diaudit.

Prof. Diraja Ungku A. Aziz menjelaskan, ia merupakan peluang terbaik bagi mereka yakni pentadbir dan kakitangan koperasi untuk menambah ilmu pengetahuan mengenai perakaunan kerana ianya akan banyak menyelesaikan masalah koperasi mengenai akaun selain akaun koperasi dapat diurus dengan baik. Prof. Diraja Ungku A. Aziz berharap koperasi-koperasi yang memerlukan khidmat ini supaya mengemukakan permohonan agar pihak ANGKASA dapat membantu mereka.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua ANGKASA, Hajah Rahaiah Baheran berkata, koperasi-koperasi ahli ANGKASA boleh memohon perkhidmatan ini sekiranya mereka menghadapi masalah menyediakan akaun untuk diaudit selain membantu kakitangan koperasi untuk menguruskan akaun koperasi dengan betul.

Menurut Hajah Rahaiah dengan adanya perkhidmatan yang disediakan oleh ANGKASA ini lebih banyak koperasi akan dapat membentangkan akaun mereka untuk mesyuarat agung koperasi dan ini akan melicinkan urusan pentadbiran koperasi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Pelajaran, Penerangan, Penerbitan dan Perkhidmatan (B4P) ANGKASA berkata, dengan adanya akaun yang lengkap dan boleh diaudit, koperasi akan dapat mengadakan mesyuarat agung sebagaimana yang ditetapkan oleh Akta Koperasi.

Selain itu menurut Hajah Rahaiah, melalui perkhidmatan penyelenggaraan dan khidmat nasihat Pra Audit yang berterusan oleh ANGKASA, koperasi-koperasi yang dibantu dapat menyelenggara rekod-rekod perakaunan secara berdikari dan ini dapat memantapkan urusan akaun koperasi.

Hajah Rahaiah seterusnya memberitahu, perkhidmatan praaudit yang disediakan ANGKASA begitu istimewa kerana semua urusan penyediaan akaun dan tunjuk cara dibuat di pejabat koperasi yang ingin mendapatkan perkhidmatan Pra- Audit ini.

Tambah beliau, penyediaan akaun ini akan dibuat secara bersama dan dengan kerjasama Anggota-Anggota Lembaga Koperasi sehingga semua urusan penyediaan akaun selesai.

Hajah Rahaiah yang baru dipilih bagi meneruskan tugas sebagai Ahli Jawatankuasa Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) Global mengingatkan koperasi-koperasi yang ingin mendapatkan perkhidmatan ini supaya menyimpan semua rekod transaksi kewangan termasuk penyata akaun bank supaya para petugas Pra Audit dapat menyediakan akaun dengan lengkap dan menepati keperluan Ketua Pendaftar Koperasi.

Hajah Rahaiah seterusnya memberitahu mana-mana koperasi yang mendapat bimbingan berkaitan Pra Audit ini akan dapat menyediakan imbangan duga; akaun perdagangan/atau akaun pendapatan dan perbelanjaan; akaun untung rugi; akaun pembahagian keuntungan; kunci kira-kira beserta nota kepada akaun serta lampiran; penyata sumber dan penggunaan dana atau aliran tunai; dan laporan berkanun anggota lembaga.

Ini, menurut beliau merupakan kebaikan yang akan diperoleh oleh kakitangan dan para Anggota Lembaga Koperasi yang boleh dibantu oleh ANGKASA kerana mereka dapat menilai pencapaian prestasi koperasi berdasarkan akaun yang disediakan.

Sehubungan itu menurut Hajah Rahaiah, berdasarkan akaun yang diaudit, koperasi juga boleh membuat perancangan mengenai aktiviti yang hendak dijalankan selain menentukan apa juga perniagaan dan pelaburan yang hendak dibuat.

Beliau berharap semua koperasi akan berusaha untuk menyediakan akaun yang lengkap untuk diaudit dan seterusnya dapat mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dalam masa yang ditetapkan oleh Akta Koperasi 1993.

Menurut beliau, ini akan dapat membantu para pemimpin koperasi membuat perancangan dan keputusan demi pembangunan dan kemajuan masa depan koperasi yang mereka pimpin dan ianya selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat gerakan koperasi di negara ini mencapai kejayaan.

- BORHAN MAT ARIS

 

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright 2001
webmaster@angkasa.coop