PELANCAR ONLINE
DECEMBER 2005

ARKIB PELANCAR 2005

 

 

 

 

 

 

Ibu Zain Tokoh Wanita Terbilang

GENERASI hari ini kini asyik dengan sajian rancangan realiti yang men’dewa’kan para artis dan selebriti. Rancangan sebegitu pula asalnya diceduk daripada rancangan dari luar negara. Jika diperhatikan, manfaat daripada rancangan seumpama itu seperti kononnya dapat “merapatkan hubungan kekeluargaan”, hanya secebis sahaja, berbanding kesan yang lebih besar dari sudut sosial masyarakat kita yang semakin hilang identiti diri dan semakin goyah pegangan agama. Ianya membayangkan bahawa rakyat Malaysia yang merdeka masih juga dijajah minda dan perasaan oleh bangsa asing. Kita mempunyai pilihan dan keupayaan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik mengikut selera sendiri.

Apakah generasi kini sudah menjadi kacang lupakan kulit? Melupakan pahit getir yang dilalui oleh pejuang bangsa ketika menentang pihak penjajah dalam menuntut kemerdekaan tanah air, bumi bertuah? Jika ditanya kepada para belia mahupun remaja, siapakah Ibu Zain? Siapakah Zainun Munshi Sulaiman? Walaupun orangnya adalah sama tetapi saya yakin, hanya segelintir yang tahu. Malah, mungkin orang tua di negeri Terengganu atau Perlis pun tidak kenal siapa beliau.

Zainun Munshi Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain merupakan seorang tokoh yang wajar dikenali dan ditauladani. Penulis kurang selesa menggunakan perkataan idola. Namun, sekadar perbandingan relatif melihat kepada perkembangan dunia hiburan dan arah aliran masyarakat yang suka mengagungkan golongan artis atau penghibur, maka adalah lebih baik Ibu Zain diletakkan sebagai “idola” menggantikan para artis.

Dilahirkan pada 22 Januari 1903 di Nyalas, Melaka, Ibu Zain merupakan anak ke-6 dari lapan adik beradik. Ayahnya, Munshi Sulaiman berasal dari Tanjung Pinang, Riau. Ibu Zain bertuah kerana Munshi Sulaiman mempunyai kesedaran yang tinggi, peri pentingnya pendidikan di kalangan anak-anaknya tidak kira lelaki mahupun perempuan. Malah, ayahnya melanggar tradisi masyarakat Melayu ketika itu yang melarang anak perempuan dari belajar, hatta belajar mengaji Al-Quran. Munshi Sulaiman merupakan seorang guru agama Islam dan Bahasa Melayu sesuai dengan gelaran Munshi yang diterimanya. Daripada beliaulah, Ibu Zain mendapat pendidikan tidak formal.

Seorang anak kecil yang cergas dan cerdas akal, Zainun gigih menimba ilmu. Ketika mengikut ayahnya menetap di Melaka, beliau belajar di Methodist Girls’ School, Tengkera (1909 – 1912) diikuti Tengkera School (1913 – 1915) sehingga lulus Junior Cambridge. Suatu pencapaian yang tidak ramai mampu gapai, khususnya di kalangan anak gadis. Lebih membanggakan Ibu Zain mampu mempertahankan akidahnya yang terdidik dari kecil ketika ditawarkan menjadi mubaligh Kristian.

Kejayaan yang dicapainya dikongsi pula dengan masyarakat. Beliau mempunyai kesedaran yang sangat tinggi untuk melihat lebih ramai kaum wanita pandai membaca dan menulis kerana ilmu merupakan kunci yang membentuk jati diri beliau sendiri. Semuda usia 17 tahun, Ibu Zain telah menubuhkan sebuah sekolah di Pasuh Jaya, Negeri Sembilan.

Sejak itu, beliau semakin mendapat perhatian. Pada tahun 1921, beliau berhijrah ke Muar untuk berkhidmat di Sekolah Perempuan Bandar Maharani. Tahun 1924, beliau dilantik menjadi Guru Besar sekolah yang sama. Kemudiannya, dilantik menjadi Guru Pelawat/Penyelia bagi sekolah perempuan daerah Muar dan Batu Pahat, seterusnya bagi seluruh negeri Johor. Di sana, beliau mengasaskan sekolah agama petang dan menjadi penyelia kegiatan tersebut. Selain itu, sekolah tersebut juga menjadi sekolah agama perempuan yang pertama di Johor.

Ibu Zain juga aktif dalam persatuan. Beliau adalah antara mereka yang bertanggungjawab menubuhkan Persatuan Guru-Guru Sekolah Melayu dan Sekolah Agama Negeri Johor. Kewibawaan beliau menambat keyakinan ahli, untuk melantiknya sebagai Presiden pertama persatuan itu. Beliau juga menubuh dan menyandang jawatan Yang Dipertua Persekutuan Guru-Guru Perempuan Melayu selama 19 tahun sejak tahun 1930.

Jika dibandingkan dengan tahap pencapaian wanita hari ini, mungkin ada yang berkata, apalah sangat nak dibanggakan dengan guru sekolah rendah. Namun hakikatnya, kita perlu melihat kepada persekitaran dan perkembangan dunia pendidikan sewaktu itu. Ibu Zain boleh dikatakan sebagai pejuang pendidikan bagi kaum wanita kerana mengikut tradisi masyarakat ketika itu, hanya anak lelaki dibenarkan menuntut ilmu.

Apa yang dialami dan diperjuangkan oleh Ibu Zain pada awal abad ke-20 adalah menongkah arus tradisi masyarakat. Hasil perjuangan dan susah payah beliau serta beberapa pihak yang lain, wanita dan anak perempuan hari ini dapat sama-sama bersaing dengan kaum lelaki dalam menuntut ilmu, sukan, karier dan sebagainya lagi.

Ibu Zain juga terkenal sebagai seorang bersemangat patriotik yang tinggi. Malah, semangat itu ditiupkannya pula di kalangan guru, pelajar serta masyarakat melalui pidatonya yang berkesan. Beliau juga rajin menulis dalam majalah Bulan Melayu dan Guru.

Berbeza dengan kaum wanita yang sezaman dengannya, beliau lewat mendirikan rumah tangga. Ibu Zain berkahwin dengan Encik Amin bin Wahab pada tahun 1934 pada usia 31 tahun. Hasil perkongsian hidup, mereka dianugerahkan tiga cahayamata. Khalidah Adibah adalah yang paling menonjol. Beliau lebih dikenali dengan nama penanya, Adibah Amin.

Ibu Zain turut aktif dalam bidang politik. Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor mewakili parti UMNO pada tahun 1948. Berbeza dengan kebanyakan ahli politik yang lain, Ibu Zain lebih suka bercakap soal pendidikan. Pada tahun 1959, beliau dipilih sebagai wakil rakyat bagi kawasan Pontian Selatan.

Jasa Ibu Zain tambah bermakna selepas pendudukan Jepun di bumi Malaya. Beliau menjalankan kegiatan dakwah bagi membantu memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun, selain membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh askar tersebut. Lebih mengejutkan, beliau mampu menguasai bahasa Jepun dalam tempoh sebulan sahaja.

Dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Ibu Zain turut menyumbang bakti. Beliau berjaya menyatukan kaum ibu untuk turut serta menyokong usaha tersebut. Di zaman konfrontasi dengan komunis, wanita berani ini mendaftar diri sebagai tentera sukarela dan meredah hutan seorang diri. Beliau bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain bagi menangkis dakyah komunis daripada menular di kalangan masyarakat. Ternyata usaha beliau membuahkan hasil. Pada tahun yang sama (1963) beliau dilantik sebagai Pengetua Kolej Puteri Tuanku Ampuan Mariam.

Ibu Zain turut memainkan peranan dalam mendaulatkan bahasa Melayu. Beliau terlibat dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada tahun 1956, sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1958.

Di atas jasa dan sumbangan beliau yang tidak terbalas itu, beliau telah diberikan beberapa penghormatan dari dalam dan luar negara. Antaranya Pingat Sultan Ibrahim (1947), anugerah Johan Mangku Negara (1958), pingat Lady of Myanmar dari Kerajaan Myanmar dan pingat Tun Fatimah (1974), Tokoh Guru dan Ijazah Kehormat Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya (1975), anugerah Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri (1979) dan anugerah Suluh Budiman (1980). Ibu Zain meninggal dunia pada tahun 1989 akibat penyakit barah dalam perut.

Banyak lagi kisah menarik tentang Ibu Zain yang boleh dipelajari. Sudah tentu sumbangan dan jasa beliau patut kita kenangi dan hargai. ANGKASA melalui program Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) mengajak generasi muda anggota koperasi sekolah menjejaki warisan peninggalan Ibu Zain di negeri Johor. Menjadikan Ibu Zain sebagai sumber inspirasi adalah lebih bermakna berbanding idola dari kalangan artis dan selebriti. Mungkin ada yang tersinggung, namun memuja artis atau selebriti boleh dianggap sebagai kegiatan yang membuang masa dan merugikan diri.

- NORIAH MOHD. ALI @ AWI

 

Untuk paparan terbaik gunakan pelayar Internet Explorer IE4.0 ke atas dengan resolusi 800x600
All rights reserved for ANGKASA. Copyright 2001
webmaster@angkasa.coop